Jom Rebut Peluang
By admin on Sep 24, 2007 in Tazkirah
Assalamualaikum atau salam sejahtera.
Bagi anda yang beragama Islam, semoga bulan ini dijadikan bulan untuk fokus pada ibadah.
Solat tarawih, baca al-Quran dan solat fardhu secara berjemaah, tentunya menjadi
rutin harian kita sepanjang bulan Ramadhan ini. Nasihat ini juga saya tujukan pada diri saya sendiri.
Tetapi, jangan lupa untuk memurnikan akhlak kita dengan akhlak yang mulia seperti ringan tulang membantu orang lain, rajin berbakti kepada ibu bapa, menjaga hati sahabat-sahabat dan sebagainya.
Dan elakkanlah mulut kita daripada mengumpat, menfitnah, mengungkapkan kata-kata lucah dan sebagainya.
Benarlah sabda Rasulullah SAW :
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, semata-mata untuk mencari keimanan dan mencari ganjaran pahala, maka akan diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini sudah tentunya mempunyai martabat yang tinggi dan sangat sahih, selepas al-Quran, kerana diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
Tahukah kita, bahawa segala amalan kebajikan kita, belum tentunya akan diterima Allah, dan segala kejahatan yang kita lakukan sebelum ini,
belum tentu akan diampunkan Allah. Tiada siapa yang mampu menjamin amalan kita, kerana hanya Allah Yang Maha Kuasa.
Allah mempunyai hak untuk mengampunkan dosa-dosa kita atau sebaliknya, kerana Allah mempunyai kuasa mutlak atas segala-galanya.
Tetapi, dengan merujuk kepada hadith di atas, ini menunjukkan bahawa Allah MENJAMIN akan mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.
Umpamanya seperti hal kita menghantar segala borang dan resume untuk memohon diberi kerja dan gaji yang mahal. Dan tuan majikan kita tanpa banyak soal, terus meluluskan permohonan kita itu.
Begitulah ibaratnya JAMINAN Pengampunan Allah kepada kita.
Oleh itu, marilah kita semua sama-sama berpuasa dengan bersungguh-sungguh dan mencari amalan kebajikan sebanyak mungkin. Walaupun kita sibuk dengan perniagaan internet, tetapi bagi saya sendiri, tidak patut kita meninggalkan usaha untuk menambahkan amalan kebajikan dan amalan ibadah di bulan Ramadhan ini.
Pahala-pahala kita, digandakan sebegitu banyak. Malah, pada bulan inilah, syaitan-syaitan akan diikat agar tidak mengganggu kita yang tekun beribadah kepada Allah.
Nasihat dan tazkirah peringatan yang saya catat di sini, bukanlah bermakna saya adalah seorang yang sempurna amalan kebaikan dan sempurna akhlak. Tetapi sekurang-kurangnya, ia sebagai nasihat kepada saya yang masih mempunyai banyak kekurangan ini.
Tidaklah perlu saya menunggu sehingga saya ni seorang yang sempurna, sebelum memberi peringatan kepada orang lain. Kan?
Kerana, jika nak tunggu saya sempurna terlebih dahulu, sampai bila? Mungkin 10 tahun lagi. Ataupun mungkin juga 50 tahun lagi.
Atau mungkin juga selepas saya meninggal dunia?… Hm …
Semoga saya dan anda semua dihindarkan dari api neraka … Amiin…
Dan kepada yang bukan Muslim yang membaca artikel saya, saya ucapkan terima kasih kerana anda semua setia menjadi pembaca blog ini dan bertambah-tambahlah terima kasih saya kerana anda menghormati umat Islam di negara ini untuk melakukan ibadah di bulan puasa ini…
Untuk kali ini, saya hanya tumpukan pada tazkirah. Insya Allah selepas ini kita akan terus ikuti perkembangan menarik dunia blogger di Malaysia dan seluruh dunia. Insya Allah. Sekian …
Dapatkan Video-video Tutorial Membuat Blog dengan KLIK SINI

















<A>
Download Segera 30 saat : Dapatkan 3 Tawaran Percuma.







Post a Comment